Sunday, February 7, 2016

Bento First week of February

Assalamulaikum...

Saya share di sini bento Umar untuk minggu pertama dalam bulan Febuari 2016.


Isnin 1/2/2016-  Nutella Sandwich pocket dan Sosej Roll


Selasa 2/1/2016 - Pau Coklat ,Biskut Milo serta Kismis.


Rabu 3/1/2016 - Nasi Tumis ,sambal bilis serta ayam goreng.


Khamis 4/2/2016 - Calzone daging ,Kebab sosej dan timun serta Jagung butter.


Jumaat 5/2/2016 - Kuetiow goreng dan telur Rebus

Saya banyak share bekal umar ni Instagram ..boleh cari di #bekalumar

Ok ...jumpa lagi di minggu ketiga ya...tata

Friday, February 5, 2016

January Bento #BekalUmar sepanjang Bulan Januari

Assalamualaikum dan Hi semua...

Lamanya saya tak update blog....cukup sibuk lately...so hari ni saya nak upload bekal Umar sepanjang bulan Januari,2016.Untuk makluman my eldest ,Umar sudah memulakan persekolahan tahun 1 pada tahun ini maka sepanjang bulan Januari saya telah berjaya membuat bento untuk anak saya dengan jayanya..clap..clap sikit kat che nurul ya hehehe ...

Week1 (4/1 - 8/1)


Nasi lemak


Meehoon goreng


Nutella Sandwich dan butter cookies


Nasi goreng dan Tamagoyaki


Sosej roll


Week 2 (11/1 - 15-1)


Nutella pocket sandwich dan sosej rebus


Mee goreng dan tamagoyaki


Burger with chicken fingers 
Muffin choc chips


Nasi goreng kicap


Sandwich dan Kaya serta sosej kebab timun

Week3 (18/1 - 22/1)


Quesadillas dan bebola keju ayam


Dorayaki,bebola keju ayam serta rosemary crackers


Kuetiow Goreng


Hotdog 


Hotdog dan pocky sticks

Week4 (26/1 - 29/1)


Pizza daging


Nasi Ayam dan ayam goreng berempah


Nutella bun dan flower sosej bun


Sandwich with nutella dan sosej kukus.

Friday, January 1, 2016

Indulgent Dark Chocolate Sourdough Bread


Assalamualikum dan hi semua...

Kali ni saya nak share resepi Roti sourdough yang menggunakan 100% natural levain atau penaik. Ya tiada yis komersial langsung yang di gunakan.
Untuk Roti SD kali ni saya sangat berpuas hati dengan kejadian rupa paras dan tekstur nya....



Indulgent Dark Chocolate SD Bread
Sumber: Nurul Cake2U

3 jam sebelum membuat roti keluarkan Starter SD dari fridge dan campurkan 200g tepung roti dan 200ml air,kacau rata dan biarkan starter menjadi aktif- ambil masa dari 2 ke 3 jam untuk aktif dan ia bergantung pada suhu juga.

bahan-bahan
3/4 cawan air
1 1/2 cawan SD starter yg aktif
1/2 cawan tepung wholemeal
2 cawan tepung roti
2 sk madu
1 sk garam
1/2 cawan dark chocolate 70% cocoa - cincang ( kalau tak ada guna yang chocolate biasa pun ok)

Cara-cara:
1.Campurkan semua bahan di dalam mixer dan uli hingga elastik.
2.Masukkan chocolate dan uli hingga bercampur rata.
3.Bulatkan doh dan masukkan ke dalam mangkuk yang telah di gris dengan minyak zaitun dan tutup mangkuk dgn plastik wrap dan biarkan ia nak sekali ganda...akan ambil masa untuk naik sebab tiada komersial yis yg di gunakan.... doh yang saya buat ambil masa 3 jam utk naik sekali ganda.
4.Setelah naik ,keluarkan doh dari mangkuk dan bahagikan doh kepada 2 bahagian dan bulatkan.Rehatkan doh selama 10 minit.
5.Ambil satu doh,leperkan menjadi segiempat tepat dan gulung rapat untuk membentuk loaf panjang.Kelim kemas dan ltak di atas dulang pembakar.Ulang proses yg sama utk doh yg satu lagi.Tutup dengan kain.
6.Biarkan doh loaf naik sekali ganda - dalam 2 ke 3 jam.Panaskan oven pada suhu 220C dan sebelum masukkan doh loaf td taburkan sedikit tepung di atas permukaan roti dan hiris sedikit permukaan roti dan bakar selama 40 minit atau sehingga masak keperangan.Setelah masukkan dulang pembakar di dalam oven letakkan4 ketul ais kiub di bawah dulang pembakar untuk membentuk stim di dalam oven...stim yang terhasil akan membuatkan kulit roti menjadi ranggup.

Selamat mencuba.

Sunday, December 6, 2015

Basic Roti Sandwich Sourdough

Hi semua ..

Entry kali ni masih berkisar dengan Sourdough(SD).Kali ni saya nak share resepi Roti sandwich versi SD.

Starter SD saya sudah berusia 3 bulan sekarang dan masih bertahan elok ,tapi dalam keluarga saya cuma saya dan suami yang meminati crusty bread atau roti yang berkerak ala roti artisan manakala anak-anak saya penggemar roti lembut yang lebih kepada roti gardenia atau roti bun lembut.

Jadi untuk memaksimakan penggunaan starter SD saya maka saya kena buat roti sandwich tekstur lembut yang menjadi kegemaran anak-anak maka saya guna juga sedikit yis komersial untuk dapatkan hasil roti yang lembut dan memendet kan masa pembuatan roti.

Kalau "Real Sourdough Baker" akan menggunakan starter SD SAHAJA sebagai agen penaik untuk roti dan tiada komersial yis langsung di gunakan tapi ia akan mengambil masa yang panjang untuk naik .Saya pernah buat roti SD yang menggunakan 100% starter dan masa pembikinan dari uli hingga bakar mengambil masa selama 14 jam.Lama kan tapi hasilnya sangat berbaloi.

Di sebabkan saya selalu buat roti SD yang ada campuran yis komersial maka saya tidak boleh di gelar sebagai "Real Sourdough Baker" ya tuan-tuan dan puan-puan (^_^) hahaha....tapi Insyallah bila anak-anak dah boleh terima tekstur roti SD ni maka saya akan selalu buat "Real Sourdough Bread" tanpa campuran yis ....

Dan untuk makluman kalau roti SD yang 100% menggunakan starter sebagai agen penaik akan mempunyai ciri-ciri kerak yang ranggup , tekstur yang liat2 manja (ahaksss) serta mempunyai rasa sedikit masam (rasa masam ini bergantung pada kualiti starter SD tersebut).

Ok saya tak nak cerita banyak ,di bawah ni adalah hasil yang saya buat...Alhamdullilah roti ni sangat lembut dan rasa macam roti benggali pun ada....terasa juga masam tu tapi sipi2 saja....dan semestinya sedapppppp.


Basic Roti Sandwich Sourdough
Oleh: Nurul, Cake2u

bahan-bahan
(A)
300 g tepung roti
1 sk garam
2 sk gula

(B)
1 1/2 sk yis segera

(C)
400g sourdough starter
100g air suam

cara-cara
1.Masuk A dalam mangkuk pengadun dan kacau rata dan masukkan yis, sourdough starter dan air suam dan mula uli hingga licin dan elastik.20 minit kalau menggunakan tangan dan 7 ke 10 minit kalau menggunakan mixer.
2.Letakkan doh di dalam mangkuk bersih yang telah di gris terlebih dahulu dan tutup dengan plastik wrap dan rehatkan doh hingga ia naik sekali ganda.
3.Griskan pullman bread pan yang berukuran 9" x 4".
4.taburkan sedikit tepung di atas papan pencanai dan keluarkan doh dan bahagikan kepada 3 bahagian .Ambil satu bahagian ,leperkan secara lembut dan gulung kemas ,buat hingga habis untuk dua lagi bahagian.Susun didalam pullman pan dan biarkan ia naik hingga melebihi sedikit dari aras atas permukaan pan.
5.Panaskan oven pada suhu 180C dan bakar roti selama 30 minit dan bila sudah nampak keperangan permukaan atas roti tutup permukaan atas dengan aluminium foil dan sambung bakar lagi selama 20 minit lagi atau hingga masak.(total masa pembakaran 50 minit)
6.Setelah masak keluarkan roti dari oven dan rehatkan selama 10 minit dan kemudian keluarkan dari loyang.Jangan biarkan roti tinggal di dalam loyang kerana ia akan menyebabkan roti berpeluh dan lembab.

Selamat mencuba.

Saturday, December 5, 2015

Sourdough Tortillas


Hi semua...

Dalam post ni saya nak share resepi membuat tortilla versi sourdough (SD).
Untuk cara membuat SD starter sila refer di sini

Saya selalu membuat tortilla tapi versi biasa dimana tiada SD starter di gunakan di dalam resepi yang saya buat sebelum ini.Ini merupakan kali pertama saya mencuba membuat tortilla dengan mencampurkan SD starter dan hasilnya roti tortilla menjadi lebih lembut dan rasa saling tak tumpah macam yang kita beli di kedai dan walaupun hari ke 3 ia masih kekal lembut...Yeayyy.

Resepi ni menghasilkan 12 keping tortilla dan selalunya saya akan simpan didalam ziplock bag dan letak di dalam fridge dan ia dapat bertahan selama seminggu.Bila nak guna cuma panaskan sebentar di atas skillet atau non stick pan dan ia akan kembali lembut.

Sourdough Tortilla
oleh : Nurul,cake2u

Bahan-bahan
(A)
1 cawan SD starter

(B)
3 cawan tepung gandum
2 sk garam
1 sk baking powder

(C)
2 sb butter-suhu bilik
2 sb lemak sayuran-shortening.

(D)
1/2 - 1 cawan air suam.

Cara-cara.
1.Campur kan B dalam mangkuk besar dan gaul mesra.
2.Masukkan C dan gaul hingga menjadi macam serbuk roti dan masukkan A, gaul rata.
3.Akhir sekali masukkan air sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh yang tidak melekat di tangan( tak perlu guna keseluruhan air).Uli sekejap dan bahagikan doh kepada 12 bahagian dan bulatkan setiap satu.Rehatkan doh selama 30 minit.
4.Panaskan skillet atau non stick pan dengan api yg sederhana .Ambil sebiji doh kecil tadi dan canaikan bulat nipis dan letakkan di atas skillet.Selepas beberapa ketika tortilla akan mengelembong dan balikkan dan biat dalam 30 saat atau hingga masak.Angkat dan letakkan di dalam pinggan dan tutup dengan tuala dapur yg bersih untuk mengekalkan kelembapan roti.Buat hingga habis semua adunan.

Gambar di bawah adalah tortilla pizza yang saya buat untuk anak-anak saya.Mereka amat gemarkan tortilla pizza sebab bila di bakar tortilla akan menjadi ranggup dan laju saja mereka makan.


Ada banyak cara untuk menikmati tortilla ni samada di buat wraps ,Quesadillas atau sebagai flatbread dan juga pizza....terpulang kepada anda.

Selamat mencuba

Wednesday, December 2, 2015

Mee Cintan Goreng untuk my fussy eater


Anak solehah saya cik Aishah memang seorang yang amat fussy dengan makanan.Dia memamg tak suka nasi putih dan kalau buat nasi bewarna atau berperisa macam nasi ayam atau nasi tomato dia jamah juga sedikit tapi alhamdullilah dia amat gemarkan pasta dan segala jenis mee.
Ni mee cintan yang saya goreng special untuk dia.

mee cintan goreng

sekeping mee cintan kering-rebus dan toskan airnya
sedikit minyak bawang goreng
ayam goreng yang di carik
sayur kesukaan- saya guna cauliflower
2 ulas bawang putih cincang
sedikit kicap manis
sedikit sos tomato

panaskan minyak bawang goreng dan tumis bawang putih hingga garing keemasan dan masukkan sayur serta ayam goreng....gaul dan masak hingga sayur layu.Masukkan mee yang telah di rebus serta kicap dan sos tomato.Goreng hingga semua sebati dalam 2 minit.

simple bukan...

Mushroom Soup yang super sedap dan simple.

Assalamualaikum semua ..

Saya nak share resepi simple sup cendawan yang sedap.Sup cendawan dah jadi kegemaran anak-anak soleh dan solehah saya dan boleh di katakan saya akan buat 2 kali dalam sebulan (^_^).

Sup Cendawan berkrim
oleh: Nurul,Cake2u

bahan-bahan
10 biji cendawan butang - cincang kasar
1 biji bawang holland - cincang dadu
2 ulas bawang putih - cincang kasar
3 sb butter
1 kiub pati ayam ( saya guna brand knorr tanpa msg)
2 cawan air
2 sb tepung gandum
1/2 cawan krim / susu cair
sedikit daun parsley kering
sedikit lada hitam-jika suka

Cara-cara
1.Panaskan periuk dan masukkan butter,kemudian tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu dan naik bau.
2.masukkan cendawan dan masak dalam 3 minit hingga cendawan nampak layu dan berbau wangi.Masukkan tepung gandum dan kacau mesra.
3.Masukkan pula air dan kiub pati ayam,masak hingga mengegelegak.tutup api dan biarkan sedikit suam dan kemudian kisar halus sup tadi.
Masukkan semula sup kedalam periuk dan campurkan susu cair atau krim masakan dan daun parsley kering.Masak hingga pekat.
Boleh tambahkan serbuk lada hitam jika suka.

nota:Tambahkan air jika sup pekat sangat atau kalau cair ,masak hingga mencapai tahap kepekatan yg di sukai

Gambar di bawah ni hasil lebihan sup yang saya campur dengan pasta dan saya campur dengan sosej rebus dan taburkan dengan parmesan cheese.Ni mmg favorite meal anak-anak saya selain dari cicah dengan roti.






Keroppi cookies


Assalamulaikum dan Hi semua

Keroppi Cookies yang saya buat untuk minum petang pada minggu lepas untuk anak-anak soleh dan solehah saya.

Resepi dan idea dari BentoMonster ...sila lah ke blog BentoMonster untuk resepi dan cara-cara membuat ya (^_^)

Monday, November 23, 2015

Cookies for Umar's Teachers


Cookies that I made for Umar's teachers.
Thank You teachers for making my Umar one smart COOKIE.... (^_^)

Sunday, October 18, 2015

Calzone


Suami saya tiba-tiba minta saya buatkan pizza karipap, saya termanggu-manggu...pizza karipap yang macam mana? kemudian baru saya ingat bila suami sebut pizza karipap yang kami makan di San Francisco Pizza(SFP) masa time tak ada anak dulu-dulu hahaha ....masih ingat lagi suami saya dengan 'Pizza Karipap" tu  atau Calzone yang sebetulnya ....

Calzone ni sangat versatile ...boleh letak apa-apa filling yang kita nak  tetapi di sini saya cuba replicate balik resepi calzone yang macam suami saya nak iaitu ala SFP.

Untuk makluman di SFP sos tomato tidak di letak di dalam calzone sebaliknya di hidang secara berasingan,dimana kita boleh letak sos tomato pada hidangan ikut kesesuaian kita sendiri...selalunya memang saya dan suami akan letak banyak sos bila nak makan calzone ...sos tomato SFP memang sangat sedap sebab homemade...saya share versi saya ya sebab suami saya kata Calzone saya lagi sedapppp dari SFP hahaha...rasanya dia cakap macam tu sebab tak mahu bawak saya pergi lagi ke SFP ....yelah GST and with the service tax kalau tak ada 2 keping RM50 tak payah pi makan ke situ.

Calzone
oleh: Nurul-cake2u

Bahan-bahan Doh
2 1/2 cawan tepung gandum
1sb gula
1sk garam
1 1/2 sk yeast
3 sb olive oil
3/4 cawan air suam

Inti
250g daging cincang
1 biji bawang besar
1 biji tomato
garam secukup rasa
2 sb rempah/ dry herbs( saya letak rempah zaatar-boleh beli di kedai Arab)

-1/2 capsicum-potong memanjang
-5 cendawan butang segar - di potong nipis
-Mozarella cheese

Sos tomato
10 biji tomato
3 sb tomoto puree
3 sb olive oil
2 ulas bawang putih-cincang halus
1 biji bawang besar-dadu
2 sb gula
garam secukup rasa
italian dry herbs(ada di jual di pasaraya)
3/4 cawan air

Cara membuat doh:
1.satukan tepung ,gula dan garam dalam mangkuk besar dan kacau mesra.Buat lubang di tengah dan masukkan 1/2 air dan letak yeast di dalam air.Biarkan seketika hingga nampak berbuih. Masukkan minyak zaitum dan mula menguli.
2.Campurkan air yg separuh lagi sikit demi sedikit hingga mendapat doh yang lembut(tak perlu guna semua air -kalau dah dapat doh yang lembut air tak perlu di masukkan lagi).
3.Uli sebentar hingga licin.Tak perlu lama sangat.
4.bulatkan doh dan letak didalam mangkuk yg telah di gris dengan olive oil dan tutup denganplastik wrap atau kain basah dan biarkan doh naik sekali ganda.
5.Bila dah naik-tekan perlahan doh utk keluarkan angin dan bahagikan doh kepada dua bahagian.Rehatkan 10 minit.
6.Taburkan sedikit tepung di atas papan pencanai ,ambil satu bahagian doh leperkan dengan rolling pin -jangan terlalu nipis dan jangan terlalu tebal.Letakkan inti daging di bahagian tengah ,taburkan capsicum,cendawan butang serta keju mozarella,lipat doh macam kita buat karipap dan kelim kemas dan angkat berhati-hati dan letak di atas dulanh membakar.Ulang proses yang sama utk doh yang satu lagi.
7.Panaskan oven pada suhu 180C dan bakar kedua-dua calzone selama  30 minit atau hingga masak keperangan kulitnya.

Cara membuat Inti:
1.Tumis bawang putih dan masukkan bawang besar-masak hingga layu dan naik bau.
2.Masukkan daging cincang ,sedikit air,rempah zaatar,garam secukup rasa.Masak hingga air kering.

cara membuat sos tomato:
1.tumis bawang putih hingga wangi dan masukkan bawang besar,masak hingga layu dan masukkan buah tomato ,tomato puree,dry herbs ,gula dan air.Masak hingga pekat dan buah tomato jadi hancur.Perasakan dengan garam.Boleh dikisar untuk dapatkan tekstur halus sos tapi saya sukakan tekstur sos yang tidak di kisar macam ni.

Hidangkan potongan calzone bersama homemade sos tomato....dan sos tomato ini juga boleh di buat sebagai base pizza,sos untuk pasta dan juga sos untuk taco atau quesadillas.

Selamat mencuba (^__^)

Friday, October 16, 2015

Birthday Umar dan Hana

Pada 11.10.2015 hari tu saya ada buat jamuan kecil untuk sambutan harijadi anak-anak saya iaitu untuk Hana dan abang Umar.Saya kongsikan di sini kek dan menu yang saya sediakan (^_^)


Kek chocalate dengan tema Thomas untuk abg Umar .



Cookie toppers untuk kek abg Umar




Vanilla butter cake untuk Hana-gambar kelabu asap sebab saya ambik dgn camera cap ayam saya hehehe.


Cookie toppers untuk kek Hana.



Safari cookies untuk door gift yang saya sediakan untuk tetamu kecil.


Ini adalah antara menu yang saya sediakan pada hari tu.
Selain dari tu saya juga menyediakan Mee Kari,Cucur udang versi utara dan kuah kacang dan juga kuih kaswi.
Lepas jamuan saya pengsan hahaha...penat mengemas dan menyediakan semua juadah.....penat tapi puas hati.

Wholemeal chapatti


Sarapan saya minggu lepas....adoi banyak resepi tertunggak yang saya tak update lagi ni hehehe.
tak pa kita upload pelan-pelan ya.

Wholemeal flatbread/chapatti gandum penuh
oleh:Nurul cake2u

bahan-bahan
1 cawan tpg wholemeal
2 cawan tpg gandum
1 sk garam
2 sb ghee/minyak jagung
1 cawan air suam

cara2:
1.Campur tpg wholemeal dan tpg gandum serta garam dalam mangkuk dan kacau rata.
2.masukkan ghee dan ramas dgn tpg dan masukkan air sikit demi sedikit hingga membentuk doh yg tidak melekat di tangan - air tidak perlu di masukkan semua.
3.Uli sebentar doh hingga licin dan bahagikan doh kepada 10 bebola kecil.bulat kan bebola tadi menggunakan tapak tangan.Letakkan kesemua bebola doh dalam mangkuk dan tutup dgn kain lembab.Rehatkan doh selama 30 minit.
4.Panaskan kuali leper atau non stick dgn api yg sederhana.Sementara tunggu kuali panas boleh start mencanai doh tadi.Taburkan sedikit tepung di atas permukaan meja dan canaikan doh tadi dgn nipis.Buat hingga habis.
5.masak roti di atas non stick pan.Roti akan mengelembung dan balikkan.
6.Roti yang dah masak di sapukan dgn sedikit ghee atau olive oil dan tutup roti dgn kain bersih utk mengekalkan kelembutan roti.

Monday, September 28, 2015

Bread Bowl dengan Sup jagung yang sedap


Assalamualaikum dan hi semua (^_^).

Semalam untuk dinner saya ada buat Bread Bowl atau roti mangkuk dan alhamdullilah hidangan ni menepati citarasa saya sekeluarga.Saya letak filling sup jagung serta salami dan telur di atasnya dan bakar sekejap sehingga telur separa masak.Oh sungguh sedap.

Resepi saya ambil dari Buku roti yang kedua dari blogger kesukaan saya iaitu Yani DecoChoco ,Buku bertajuk 'Jom Berjimat Membuat Roti dan Ban' memang berbaloi untuk di miliki dengan harga cuma RM9.90 tapi padat dengan resepi-resepi yang lazat dan menarik.Thumbs up untuk Yani.Untuk makluman saya belajar membuat roti pun di sebabkan myresepi.com di mana pada masa awal-awal myresepi.com di wujudkan Yani memang penyumbang tetap dan resepi-resepi roti dari beliau memang terbaik dan dari situ saya belajar teknik dan cara membuat roti.



Resepi asal menghasilkan 8 biji bread bowl tapi saya hanya buat separuh dari adunan dan mendapat cuma 4 biji sahaja,sesuai la untuk keluarga kecil kami untuk sekali makan. Dan pada sesiapa yang nak buat banyak ,gandakan resepi ya.

Bread Bowl
Sumber: Buku'Jom Berjimat Membuat Roti dan Ban' Norhayani Mohd Noor.
menghasilkan 4 biji bread bowl

(A)
150g tepung roti
1 sb gula
1/4 sk garam

(B)
1/2 sk yeast segera
90ml air
1 1/2 sb minyak zaitun.

Cara:
1.Campur semua bahan A di dalam mangkuk pengadun dan gaul mesra.
2.Masukkkan bahan-bahan B dan uli hingga licin dan elastik.
3.Bulatkan doh dan masukkan dalam mangkuk bersih dan tutup permukaan mangkuk dengan tuala bersih dan biarkan naik sekali ganda.
4.Tekan doh utk keluarkan angin dan bahagikan kepada 4 bahagian dalam 65 g setiap satu.
5.rehatkan doh dan biar kan naik sekali ganda.
6.Bakar roti pada suhu 180C selama 12 ke 15 minit.
7.Setelah masak,sejukkan roti dan potong sedikit di bahagian atas roti dan korek isi roti supaya ada lubang untuk isi sup di dalamnya,


Sup Jagung simple
bahan-bahan
2 biji isi jagung
1 batang carrot-di potong dadu
1 biji bawang besar-cincang dadu
1 ulas bawang putih-cincang halus
1 kiub pati ayam tanpa msg
1 liter air
1/2 cawan susu rendah lemak
2 sb mentega

Cara-cara:
1.Panas periuk dan letakkan mentega-biar cair dan tumis bawang besar hingga layu dan kemudian masukkan jagung,carrot,kiub ayam,air .Masak hingga carrot dan jagung empuk.
2.Puri kan sup tadi dan masukkan semula sup ke dalam periuk dan masukkan sekali susu rendah lemak.masak hingga mengelegak,Taburkan lada hitam dan daun parsley semasa menghidang.

Saturday, September 26, 2015

Laksa Kuala Perlis yang simple tapi sedap


Hi semua (^_^)..

Rasanya ramai yang suka makan laksa kan? Dan laksa pula di Malaysia ada bermacam-macam jenis seperti laksa Penang,laksa Kuala ketil, laksa terengganu, laksam, laksa kelantan , laksa sarawak dan laksa Kuala Perlis atau orang utara panggil laksa kola perelih hehehe.

Jadi hari ni saya nak share resepi laksa Kuala Perlis yang simple dan semestinya sedap.Kalau versi yang original laksa KP ni di buat sendiri dari tepung beras dan rasanya tentulah lagi umph... tapi sebab nama pun resepi simple maka saya guna laksa kering biasa saja.

Laksa Kuala Perlis
Sumber:Nurul  cake2u

Bahan untuk Kuah:
10 ekor ikan sardin /kembung / selar( saya guna ikan sardin)
1 tin besar sardin cap ayambrand(hancurkan kasar bersama sos)
8 keping asam keping
sedikit daun kesom
1 btg bunga kantan
garam secukup rasa
air

Bahan kisar
10 tangkai cili kering-di rendam*
3 biji bawang besar*
2 sb belacan*

Bahan-bahan lain
sebungkus laksa-rendam selama 2 jam dan rebus hingga masak
daun selom
timun
bawang
telur rebus 
cili potong.

cara-cara:
1.Rebus ikan hingga masak.Simpan air rebusan dan tapis air rebusan ikan dan masukkan dalam periuk sederhana besar.Asingkan isi kan dan tulang.Mesin isi ikan dengan sedikit air dan masukkan kedalam air rebusan tadi.Kemudian kisat tulang ikan bersama sedikit air dan tapis tualnag ikan dan masukkan air tapisan tulang tadi kedalam periuk yang sama.
2.Masukkan bahan kisar ,sardin dalam tin yg di hancurkan,daun kesum,asam keping,bunga kantan yg di belah 2, dan tambah air mengikut kelikatan yang di sukai-jagn cair atau pekat sangat.Masak hingga mendidih dan rasakan dengan garam.

cara menghidang:
masukkan laksa di dalam mangkuk,letakkan ulam-ulaman yang di potong halus,telur rebus dan letakkan kuah laksa.Sedap di makan bersama perahan limau dan kicap manis.


Saya buat foor art bentuk Totoro untuk anak pada keesokkan hari nya sebab laksa masih ada tapi kuah dah habis.Jadi saya hanya gorengkan laksa tadi bersama sedikit minyak bawang,letak kicap manis dan taburan bawang putih goreng hingga mesra.Details totoro di perbuat dari slice cheese dan nori.Dan rasa laksa goreng ni seakan-akan udon goreng...anak-anak saya kata sedap hehehe.

Monday, September 14, 2015

kek Cokelat Microwave 1 minit yang mudah


Apa Khabar semua...(^__^)

Hari ni saya nak share resepi kek cokelat yang sangat mudah dan cepat.Anak-anak saya sangat suka makan kek dan selalu minta nak makan kek dan semestinya resepi ni sangat memudah kan kerja saya.

Resepi ini saya dapat dari rakan ig saya kak Jun dan betul kata kak Jun kalau tetiba terasa nak makan kek memang boleh terus buat bila-bila masa yang kita nak.

Kek ni sangat lembut dan moist tapi menurut kak Jun jangan overmix nanti bantat.

Tak nak celoteh banyak saya terus share resepi ya.

Kek Cokelat microwave 1 minit
sumber: Kak Jun
Untuk 2 cawan Ramekin

(A)
3 sb tepung gandum
1 sb + 2 sk serbuk koko
1 sb + 2 sk gula
1/4 baking powder
secubit garam

(B)
3 sb susu segar
1 sb minyak jagung/minyak masak
1/4 sk vanilla

Cara-cara:
1.Campur semua bahan-bahan A.Kacau rata.
2.Campurkan bahanB dalam bekas lain dan kacau rata.
3.Campur A dan B , kacau rata tapi jangan overmix.
4.Masukkan dalam acuan ramekin yang telah di gris.
5.Bakar dalam microwave pada fungsi tinggi selama 1 minit.
6.Makan panas-panas sedap...kek ni tak berapa manis jadi sangat sesuai kalau di gandingkan dengan cokelat nuttela...yummy

Sunday, September 13, 2015

Pasta with Curly hair girl


Apa khabar semua... hari ini saya nak kongsikan food art yang saya buat untuk Miss Aishah.Macaroni Bolognese dan meatball yang saya leperkan untuk di buat muka.

selepas goreng meat ball saya letakkan sekeping cheese di atas meal ball dan saya letak di dalam microwave pada suhu sederhana selama 10 saat.Ini akan menghasilkan permukaan licin untuk muka curly girl ni.Manakala details saya guna nori untuk mata dan mulut .Pipi pula di perbuat dari lobak merah.

Anak saya makan dengan penuh selera sebab food art kali ni menggambarkan diri dia sebab Miss Aishah berambut kerinting besar (^__^).

Friday, September 11, 2015

Thomas Bento Packs dan bagaimana membuat deco sheet untuk hiasan bento


Assalamulaikum semua (^__^)

9.09.2009 yang lalu lahir lah seorang putera kebangaan saya dan suami.Anak yang kami amat dambakan kerana selama 5 tahun berkahwin macam-macam usaha saya dan suami lakukan untuk mendapat zuriat  dan akhir nya dia muncul membawa kegembiraan dan kebahagiaan buat kami berdua.Dan pada 9.09.2015 genaplah 6 tahun umur anakanda kami yang tercinta,Selamat Hari Jadi Umar Bin Mohamad Sufian ...mak dan ayah sayang Umar dan semoga Umar membesar menjadi anak yang Soleh serta menjadi abang yang terbaik untuk adik Aishah dan Hana.

Jadi pada hari jadi Umar dua hari lepas saya buat kan bento packs dengan tema Thomas untuk di beri kepada rakan-rakan Umar di Pra Sekolah.Ke semua sekali 27 packs....huhuhu rasa nak pengsan buat semua ni...tapi bila Umar tersenyum gembira melihat hasil yang saya buat, penat tu terus hilang.

Untuk bento pack ni saya sediakan Daouble Choc Muffin ,Baked Macaroni and Cheese dan Icebox cookies(resepi cookies saya akan share pada next post ya).

Di sini saya nak share cara membuat deco sheet dan saya buat muka Thomas dari deco sheet tersebut dan saya hiaskan di atas Macaroni and cheese .

Selama ni saya tercari-cari resepi deco sheet seperti bento-bento masters yang berniaga bento packs dari negara jiran kita iaitu di Indonesia.Dari apa yang saya perhatikan dan baca mereka membuat deco sheet dari campuran telur,tepung dan susu tapi malangnya tiada resepi yang saya jumpa atau pun di share di blog mereka.Tapi saya faham mereka berniaga so tentulah resepi tersebut tidak di kongsi.Ada juga di antara mereka telah keluarkan buku-buu bento mereka sendiri tapi malangnya hanya untuk pasaran di sana sahaja....Insyallah kalau saya ke Jakarta saya akan ke toko-toko buku di sana untuk cari sebanyak mungkin buku-buku bento (^_^).

Maka dari situ saya berekperimen dan akhirnya saya boleh katakan saya telah berjumpa dengan deco sheet yang saya inginkan tu.So di sini saya kongsi pada yang ingin memcuba membuatnya. Bayangkan deco sheet ni sebagai kepingan 'fondant' yang kita guna untuk hias cake ya... 




Hasil dari deco sheet.

Deco Sheet untuk Bento
Oleh:Nurul Cake2u

Bahan-Bahan
3 biji telur
500 ml bancuhan susu tepung @ susu segar
250g tepung gandum
1/2 sk garam
1/2 esen vanilla

cara:
1.Satukan semua bahan di dalam bekas dan kacau rata
2.Masukkan dalam blender dan kisar hingga halus mulus.
3.panaskan kuali leper atau non stick pan
4.Untuk Thomas ni saya bahagikan kepada 3 bahagian adunan di mana untuk di warnakan.Untuk warna biru saya guna 3/5 bahagian, untuk warna kelabu 1 1/2 bahagian dan warna asal 1/2 bahagian.
5.kecilkan api,oles dengan sedikit minyak dan ambil sesenduk warna biru ,tuangkan di atas kuali dan biarkan ia masak sepenuhnya macam kita buat crepe.Adunan tidak perlu di terbalikkan.Apabila ermukaan sudah kering terus angkat dan buat hingga semua adunan selesai.Sejukkan.

Nota:
untuk lekaktkan nori pada deco sheet gunakan mayonis sebagai gam.Dan anda boleh warnakan deco sheet ni dengan warna kegemaran dan rancang dulu hiasan yang bagaimana anda nak buat then baru warnakan.

Selamat mencuba (^__^) ...